


-ilmu didahulukan,pencapaian diutamakan-


Jangan jadi seperti ini
Jangan berputus asa dari Rahmat Allah Taala
Di sini ingin saya meletakkan dan menyatakan ayat-ayat Al-Quran kepada anda yang sering kali senang berputus asa. Ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah itu baik. Allah kan Maha Adil. Allah kan Maha Penyayang. Allah tidak akan menyia-nyiakan segala usaha anda. Allah takkan membiarkan anda bersendirian dalam kesusahan. Maka, sebagai hamba, marilah kita meminta kepada Allah sebanyak-banyak permintaan yang kita mahu. Minta-minta juga ya. Usahanya kenalah setimpal.
Saya banyak mendengar rintihan-rintihan hati beberapa orang yang saya kenali. Antaranya:
“Aku studi punyalah banyak, tetapi keputusan hampeh jugak”
“Rasa-rasa cam dapat mumtaz dah, tapi tak lulus gak”
“Die tu studi sikit, tido banyak, tapi keputusan gempak gak! Tension aku”
“Agaknya aku ni memang bodoh dan malang la yek..”
Ketahuilah bahwa Allah Taala itu tidak zalim kepada hambaNya. Tetapi hambanya yang zalim kepada diri sendiri. Istilah yang sering saya gunakan kepada orang-orang yang hanya meningkatkan ibadat ketika exam sahaja ialah “Malaikat Exam”. Dekat-dekat nak exam sahaja, mulalah bertahajjud sampai ke pagi. Solat 5 waktu di masjid. Al-Quran yang jarang disentuh itu dibaca sehingga berjuzuk-juzuk sehari. Ma’thurat dibaca pagi petang. Tasbih sepanjang masa di tangan. Ini semua sebab nak bodek tuhan punya pasal. Tetapi bila exam habis sahaja, mulalah kembali aktiviti-aktiviti jahiliyah dahulu. Solat berlubang-lubang. Al-Quran letak balik dalam kotak atas almari. Siap selotep pula kotak itu. Dibalutkan pula kotak itu dengan plastik gelap.Takut berhabuk katanya. Mengumpat mengata jadi zikir harian. Dari A-Z diumpatnya orang itu. Sikit pun tak tinggal. Dari bangun sampailah tidur semula. Aktiviti-aktiviti jahiliyah ini berterusan. Apabila datang musim exam, mereka mula menjadi ‘malaikat’ semula. Aduhai! Malangnya hamba tersebut. Contoh di atas hanya perumpamaan sahaja ya. Tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Tetapi kalau anda terasa hati dan rasa macam pedih-pedih hati tiba-tiba bila membaca entry ini, ketahuilah bahawa itu adalah Rahmat dari Allah. Allah mahu anda segera meninggalkan sikap Jahiliyah yang anda buat itu. Saya memasukkan entry ini pun untuk mengingatkan diri sendiri juga.
Satu perkara yang anda perlu ingat ialah, Allah tidak menilai hambaNya ketika exam sahaja. Kalau ketika exam sahaja Allah menilai anda, mudahlah hidup kita. Allah menilai keseluruhan hidup kita. Mungkin ketika kita sedang lalai itulah Allah menilai dan berdasarkan penilaian itulah diberikan markahnya melalui markah exam kita. Ibarat cermin yang memantulkan imej. Maka ketika itulah kita tak lulus exam, kena mengulang dan sebagainya. Maksud saya di sini bukanlah semua orang yang tak lulus itu lalai, mungkin itu ujian Allah untuk dia. Tetapi boleh terjadikan perumpamaan saya di atas? Tidak mustahil kan?
‘Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampau batas terhadap terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’
[Az-Zumar:53]
‘….sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri’ [Al-Baqarah:222]
‘Yang mengampuni dosa dan menerima taubat…’ [Al-Ghafir:3]
‘Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim’ [Al-Hujurat:11]
Di sini, ingin saya tekankan sekali lagi bahawa Allah itu baik! Mintalah dariNya segala yang anda hajati. Jika tidak diberikan ganjaran sekarang, mungkin pada masa akan datang diberinya ganjaran tersebut. Yang penting BERUSAHA TANPA PUTUS ASA. Tidak bermakna anda tidak berjaya mendapat Mumtaz dan cemerlang pada hari ini anda adalah makhluk yang paling malang dalam dunia ini..Mungkin suatu hari nanti anda akan menjadi orang hebat. Siapa tahu? Allah sengaja lewatkan ganjaranNya kerana hendak menguji anda sahaja. Jangalah tertipu dengan syaitan dan hawa nafsu.

