Selamat bermujahadah kepada anda semua. Minggu ini saya bercadang agar kita semua berusaha untuk mengadakan minggu Mujahadah Nafsi memandangkan musim exam yang semakin tiba. Disamping itu, tidak lupa juga perlunya kita menjaga hati agar dihindari dari dosa noda. Justeru, memandangkan exam yang hampir tiba, marilah sama-sama kita memohon kemaafan daripada Allah Taala dengan banyak beristighfar dan bertaubat kepadaNya. Bukanlah bermaksud di sini saya mengajak anda bertaubat ketika exam dekat sahaja, maksud saya di sini memperbanyakkan taubat kepada Allah. Jika ketika ingin exam sahaja mahu bertaubat, nampak sangat anda seorang pembodek. Membodek Allah Taala ketika ingin menghadapi saat-saat sukar tetapi melupaiNya ketika masa senang. Allah tahu niat di hati anda. Maka, janganlah membodek tanpa berusaha! Usaha itu penting disamping berdoa. Berdoa saja pun tidak jadi juga…
Saya dan anda tahu bahawa musim exam adalah musim yang begitu sukar dan menekankan. Ada-ada sahaja sebesar-besar sehingga sekecil-kecil perkara yang boleh menyebabkan anda tersentuh. Saya pernah mengalaminya. Justeru, jagalah hubungan anda sesama manusia juga. Janganlah terlalu menumpukan exam sehingga terbabas dan terlalai tanggungjawab anda. Exam, exam juga. Ahli beyt nak makan juga. Jadi, ketika jadual anda memasak janganlah buat-buat terlupa pula. Baju kena basuh juga. Ziarah kena jalan seperti biasa juga. Ruang tamu tu kemas-kemaslah ye selepas makan. Jangan pula bermula dari mula exam sampai habis exam makanan itu masih lagi di situ.Berkulat dan berlumut. Teruk sangat tu. Bukankah Allah suka hambaNya yang menitikberatkan kebersihan? Sukan kena jaga juga. Jangan nanti anda tidak sihat pula ketika exam. Yang paling penting, janganlah terlalu asyik bertapa sampai tak tahu perkembangan dunia luar terutamanya dunia Islam. Dan yang lebih teruk, keluar-keluar dari tempat pertapaan nanti ahli beyt sendiri pun dah tak kenal kamu sebab sudah berjambang dan baju koyak rabak akibat terlalu lama bertapa. Ini hanya misalan sahaja ya. Tak tahu la pula kalau-kalau perkara sebegini pernah terjadi dalam dunia ini. Ada ke?
Jangan jadi seperti ini
Jangan berputus asa dari Rahmat Allah Taala
Di sini ingin saya meletakkan dan menyatakan ayat-ayat Al-Quran kepada anda yang sering kali senang berputus asa. Ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah itu baik. Allah kan Maha Adil. Allah kan Maha Penyayang. Allah tidak akan menyia-nyiakan segala usaha anda. Allah takkan membiarkan anda bersendirian dalam kesusahan. Maka, sebagai hamba, marilah kita meminta kepada Allah sebanyak-banyak permintaan yang kita mahu. Minta-minta juga ya. Usahanya kenalah setimpal.
Saya banyak mendengar rintihan-rintihan hati beberapa orang yang saya kenali. Antaranya:
“Aku studi punyalah banyak, tetapi keputusan hampeh jugak”
“Rasa-rasa cam dapat mumtaz dah, tapi tak lulus gak”
“Die tu studi sikit, tido banyak, tapi keputusan gempak gak! Tension aku”
“Agaknya aku ni memang bodoh dan malang la yek..”
Ketahuilah bahwa Allah Taala itu tidak zalim kepada hambaNya. Tetapi hambanya yang zalim kepada diri sendiri. Istilah yang sering saya gunakan kepada orang-orang yang hanya meningkatkan ibadat ketika exam sahaja ialah “Malaikat Exam”. Dekat-dekat nak exam sahaja, mulalah bertahajjud sampai ke pagi. Solat 5 waktu di masjid. Al-Quran yang jarang disentuh itu dibaca sehingga berjuzuk-juzuk sehari. Ma’thurat dibaca pagi petang. Tasbih sepanjang masa di tangan. Ini semua sebab nak bodek tuhan punya pasal. Tetapi bila exam habis sahaja, mulalah kembali aktiviti-aktiviti jahiliyah dahulu. Solat berlubang-lubang. Al-Quran letak balik dalam kotak atas almari. Siap selotep pula kotak itu. Dibalutkan pula kotak itu dengan plastik gelap.Takut berhabuk katanya. Mengumpat mengata jadi zikir harian. Dari A-Z diumpatnya orang itu. Sikit pun tak tinggal. Dari bangun sampailah tidur semula. Aktiviti-aktiviti jahiliyah ini berterusan. Apabila datang musim exam, mereka mula menjadi ‘malaikat’ semula. Aduhai! Malangnya hamba tersebut. Contoh di atas hanya perumpamaan sahaja ya. Tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Tetapi kalau anda terasa hati dan rasa macam pedih-pedih hati tiba-tiba bila membaca entry ini, ketahuilah bahawa itu adalah Rahmat dari Allah. Allah mahu anda segera meninggalkan sikap Jahiliyah yang anda buat itu. Saya memasukkan entry ini pun untuk mengingatkan diri sendiri juga.
Satu perkara yang anda perlu ingat ialah, Allah tidak menilai hambaNya ketika exam sahaja. Kalau ketika exam sahaja Allah menilai anda, mudahlah hidup kita. Allah menilai keseluruhan hidup kita. Mungkin ketika kita sedang lalai itulah Allah menilai dan berdasarkan penilaian itulah diberikan markahnya melalui markah exam kita. Ibarat cermin yang memantulkan imej. Maka ketika itulah kita tak lulus exam, kena mengulang dan sebagainya. Maksud saya di sini bukanlah semua orang yang tak lulus itu lalai, mungkin itu ujian Allah untuk dia. Tetapi boleh terjadikan perumpamaan saya di atas? Tidak mustahil kan?
‘Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampau batas terhadap terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’
[Az-Zumar:53]
‘….sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri’ [Al-Baqarah:222]
‘Yang mengampuni dosa dan menerima taubat…’ [Al-Ghafir:3]
‘Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim’ [Al-Hujurat:11]
Di sini, ingin saya tekankan sekali lagi bahawa Allah itu baik! Mintalah dariNya segala yang anda hajati. Jika tidak diberikan ganjaran sekarang, mungkin pada masa akan datang diberinya ganjaran tersebut. Yang penting BERUSAHA TANPA PUTUS ASA. Tidak bermakna anda tidak berjaya mendapat Mumtaz dan cemerlang pada hari ini anda adalah makhluk yang paling malang dalam dunia ini..Mungkin suatu hari nanti anda akan menjadi orang hebat. Siapa tahu? Allah sengaja lewatkan ganjaranNya kerana hendak menguji anda sahaja. Jangalah tertipu dengan syaitan dan hawa nafsu.
Saya rasa setakat ini sahaja yang dapat saya nukilkan. Saya juga ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan memandangkan exam yang sudah dekat. Saya juga bukanlah seorang pelajar yang cemerlang. Anda mungkin! Tetapi tidak saya. Jadi, saya kena berusaha. Saya mahu jadi orang hebat disisiNya. Allah kan baik…..Jom Mujahadah! Allahua’lam.
nukilan dari : senpai.
-Cintakan Rasulullah, pemangkin biah solehah-
1 comment:
Post a Comment