“Im! Jom pergi Convo Square, kita makan tengah hari. Kau dah makan belum?” Malik tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Ibrahim tanpa sebarang signal.
“Hisyh kau ni. Kalau ye pun, bagilah salam dulu. Main sergah-sergah je. Nasib baik aku takde sengguggut, kalau tak pengsan aku!” Ibrahim yang ketika itu sedang membaca buku sambil berbaring di atas katil terus terduduk.
“Hahaha..senggugut ape kejadahnye kau ni Im. Kau ni lelaki ke prempuan. Orang yang terkejut-terkejut pastu pengsan ni setahu aku orang yang ade sakit jantung je. Dahlah tu, jomla pergi.”
“Alah, penatlah. Malam nantilah aku turun. Tengah-tengah hari ni panas. Berbaring di atas katil sambil menghabiskan buku Sean Covey : 7 Habits of Highly Effective Teenagers ini jauh lebih bermakna daripada turun ke tapak convo yang panas terik lagi tidak menarik itu..hahaha..” Ibrahim tergelak sendirian. Dia menggunakan ayat baku yang dirasakannya melucukan. Perasan sendiri.
“Alahai Im, yelah, aku paham..aku belanja kau, amacam?”
“Ha..kalu begitu beta setuju! Jap ye, beta pergi menukar persalinan.”
“Huisy, pantang dengar makan free, laju je mamat nih. Cepat-cepat, aku tunggu kau kat bawah. Weh, kau dah solat zohor lum? Eh, lupa, kau senggugut kan? Takleh sembahyang. Haha..”
Mereka berdua tertawa bersama. Persahabatan mereka memang erat. Lagi-lagi mereka sudah ditarbiyah bersama. Cuma masih belum menggunakan kata ganti diri 'ana-anta' seperti mana ikhwah-ikhwah lain yang telah ditarbiyah kerana persahabatan sebelum ini sudah mengakar di dalam diri. Kekok rasanya jika ingin menukar kata ganti diri itu. Namun mereka sering saling ingat mengingatkan antara satu sama lain agar sentiasa terpelihara peribadi muslim sejati yang menjadi impian setiap insan yang mengenal hakikat diri sebagai hamba kepada Allah.
*****
Suasana Convo Square agak padat petang itu. Ahli keluarga serta saudara-mara terdekat datang dengan hati yang berbunga-bunga untuk meraikan graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan kuliah di menara gading. Teriknya panas matahari seperti tidak memberi kesan kepada para pengunjung. Semua sibuk dengan hal masing-masing.
“Nak makan apa ni ye?” Malik bersuara.
“Makan Nasi Ayam jom. Aku sebenarnya apa-apa pun boleh, sebab ada orang nak belanja..”
“Yelah..jom-jom. Dah lapar betul nih. Nasi Ayam pun Nasi Ayamlah. Nanti kalau ada space lagi kita topup lagi..”
“Ceh, makan tu beringatla...orang beriman berhenti sebelum kenyang, makan tu bila lapar je. Bukan selagi leh sumbat, selagi tu tangan menyuap!”
“Ye ye...aku gurau je la. Jom.”
Nasi Ayam Kamal menjadi pilihan. Oleh kerana kelaparan, mereka makan tanpa bicara.
“Dahsyatla Nasi Ayam Kamal ni. Sedap hingga menjilat sudu!”
“Sudu apenye kau ni Im. Aku tengok kau makan guna tangan je, tiba-tiba jilat sudu la pulak.”
“Itulah tanda sedap. Sampai cari sudu nk jilat, sedap sangat. Kau mana paham peribahasa kaum istana ni..”
Malik menjuihkan bibir. Ibrahim meniru mimik Malik. Malik tertawa. Ibrahim memang lucu orangnya. Hanya mereka yang rapat dengannya sahaja yang tahu bagaimana peribadi dirinya. Mereka yang belum mengenalnya seringkali mengatakan Ibrahim seorang yang tegas dan garang daripada raut wajahnya. Terutamanya kaum wanita. Dalam mesyuarat kumpulan ataupun persatuan, Ibrahim sentiasa fokus kepada topik perbincangan.
“The DeeJay Corner is on air again! Anybody who wants to dedicate anything to anyone can do so at the DeeJay Corner, just beside the main stage!” Tiba-tiba kedengaran suara daripada pembesar suara.
“Eh, Im ade DeeJay Corner la. Jom wat ucapan untuk ikhwah-ikhwah kita nak? Kita mintak dia pasang lagu ‘menerobos’ kegemaran kau tu.”
“Menerobos la pulak kau ni. Tajuk dia ‘Gelombang Keadilan’ la.”
“Tak kisahlah apa pun tajuk dia, tapi lagu tu la. Amacam?”
“Okay gak tu. Biar bergema seruan jihad sikit tapak convo nih.” Ibrahim melirik senyum.
Mereka bergerak ke arah pentas utama. Menuju ke booth DeeJay Corner. Seorang perempuan berada di kaunter. Wajahnya terlindung komputer riba. Tangan kanannya yang memegang tetikus digerak-gerakkan. Mungkin sedang mencari lagu yang dipinta oleh pelanggan. Seorang lelaki sedang mundar mandir di belakang, mengangkat kotak. Ibrahim mengenalnya. Razif. Teman satu kumpulannya ketika Minggu Orientasi dahulu.
“Assalamu’alaikum kak. Kami nak buat ucapan boleh?” Im bertanya.
“Wa’alaikumussalam...kenapalah korang panggil akak-akak ni. Saya ni baru 2nd Year la. Hah, ambil kertas ni, tulis ucapan dan penerima,” Sambil mukanya diangkat, menghulurkan sekeping kertas sebesar tapak tangan kepada Ibrahim.
Pandangan Ibrahim dan wanita itu bertembung. Ibrahim terpaku. Tiba-tiba diam.
“Anis..” Tiba-tiba sebuah nama terpacul dari bibirnya. Separuh berbisik. Fikirannya melayang mengimbau peristiwa lalu.
--------