SEKSUALITI MERDEKA
1. Masyarakat mana-mana pun tahu adanya orang yang dilahirkan dengan jantina tidak menentu. Ada yang memiliki tubuh badan lelaki tetapi bahagian-bahagian tertentu lebih mirip kepada perempuan. Mereka dikenali sebagai pondan atau ponen dan ada yang sebaliknya, iaitu tubuh badan perempuan tetapi mirip lelaki.
2. Mereka diterima oleh masyarakat sejak dahulukala lagi tanpa banyak masalah.
3. Tetapi di Barat, kerana gerakan bagi mendaulatkan kebebasan (freedom), mereka ini digesa untuk menuntut hak supaya diiktiraf sebagai sejenis yang berlainan. Mereka juga manusia dan manusia mesti diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja.
4. Yang menjadi masalah ialah mereka yang tidak ada apa-apa kecacatan tetapi menuntut supaya larangan agama dan undang-undang terhadap perbuatan seks di luar tabii seperti meliwat dihalalkan.
5. Dari sini tuntutan diteruskan untuk bukan sahaja dihalalkan seks songsang tetapi juga perkahwinan sejenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Akhirnya perlakuan seks dibebaskan di Barat sehingga apa sahaja diterima oleh masyarakat sebagai hak seseorang manusia. Anak perempuan dan anak lelaki belasan tahun pun boleh tidur dengan siapa sahaja, melakukan apa jenis seks sesuka hati mereka. Tidak ada lagi anak dara atau teruna semasa berkahwin.
6. Kita banyak terpengaruh dan menerima pendapat dan nilai hidup serta adat resam Barat. Kita hidup dalam dunia yang berpusat kepada Eropah (Eurocentric). Kita terima sistem pemerintahan demokrasi umpamanya.
7. Tetapi perlukah kita turut dan terima segala-galanya yang dilakukan di Barat? Sebenarnya budaya dan nilai hidup Barat sudah runtuh, runtuh kerana terlangsung taksub dengan kebebasan (freedom). Apa sahaja yang hendak dilakukan oleh seseorang individu tidak boleh dilarang kerana larangan bermakna menidakkan hak asasi individu atau kumpulan.
8. Sesuatu yang dilarang oleh agama memang mempunyai sebabnya. Mungkin kita tidak kenal atau tahu sebabnya. Tetapi kita harus ingat penyakit HIV Aids dahulu tidak ada. Ia mula dikenali dikalangan mereka yang mengamalkan seks songsang di California, Amerika Syarikat, secara pilihan walaupun tidak ada kecacatan apa-apa. Sehingga kini tidak ada ubat yang boleh menyembuh penyakit HIV Aids. Mereka yang mengidap penyakit ini bukan sahaja akan musnahkan diri sendiri tetapi juga isteri, suami dan anak cucu. Mereka tidak akan hidup sempurna.
9. Manusia yang bertamadun tidak menurut nafsu semata-mata. Budaya Barat menggalakkan manusia mengikut nafsu. Kebebasan bagi mereka bermakna apa sahaja yang didorong oleh nafsu tidak boleh ditegah oleh agama atau undang-undang manusia.
10. Sifat ini adalah sifat haiwan. Manusia memiliki akal fikiran. Orang yang bertamadun menggunakan akal fikiran untuk menghalang diri dari terikut-ikut dengan nafsu. Sebabnya nafsu perlu dibendung ialah sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka yang mengikut nafsu. Tamadun yang utamakan nafsu akan runtuh akhirnya.
11. Kita sedang melihat keruntuhan akhlak dalam masyarakat Barat. Sementara agama mereka melarang seks songsang, paderi mereka secara terbuka mengamalkan seks songsang. Mereka ditugaskan untuk mengahwini sepasang lelaki dan perempuan. Apakah maknanya apabila mereka menasihati pasangan itu supaya setia kepada masing-masing. Sesungguhnya institusi perkahwinan dan kekeluargaan sudah luput dalam masyarakat Barat. Ramai daripada mereka tidak tahu siapa bapa mereka. Kemungkinan besar akan berlaku perkahwinan atau hubungan seks antara adik dengan abang, kakak dengan adik, bapa dengan anak, anak dengan ibu.
12. Mereka yang taksub dengan kebebasan akan berkata apa salahnya jika ini berlaku. Percayalah, masyarakat selepas ini akan dipenuhi dengan manusia yang cacat tubuh-badan, cacat akal fikiran dan besar kemungkinan aneka jenis penyakit baru akan menyerang msyarakat itu.
13. Sementara kita akui ada manusia yang jantina mereka tidak jelas, janganlah kerana ingin tidak memencilkan mereka, kita terima amalan Seksualiti Merdeka atau Free Seks dalam masyarakat kita. Amalan ini bukan sahaja berdosa tetapi akan runtuhkan masyarakat kita.
Tambahan.. :)
Allah berfirman: surah arrum ayat 41: telah tampak kerusakan didarat dan dilaut disebabkan karena tgn perbuatan manusia,Allah menkehendaki agar sebahagian dari manusia merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka,agar mereka kembali ke jalan yg benar..
dalam ayat yg lain: surah annisa' ayat 79: kebajikan apapun yg kamu peroleh,adalah dari sisi Allah dan keburukan apapun yg menimpamu,itu adalah dari kesalahan kamu sendiri..
Ya ALLAH, jadikanlah kami dari golongan hambamu yg berfikir, luas pengetahuan,tidak bertindak mengikut hawa nafsu dan berusaha memahami agamaMu..ameen..