KETUA Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr. Robaayah Zambahari (tengah), menunjukkan alat Injap Gantian Melalui Kateter (TAVI, gambar kecil) alat untuk menggantikan injap yang telah rosak pada jantung pesakit, di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir (dari kiri) Perunding Kardiologi IJN, Dr. Saiful Azmi; Ketua di Jabatan Kardiologi, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali; Ketua Pembedahan Kardiotrotik IJN, Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub; Perunding Anestatik IJN Datuk Dr. Mohammed Hassan Ariff; Perunding Pembedahan Kardio, Dr. Jeswant Dillon; Perunding Kardiologi Interventional dan Core Valve Proctor, Belfast, Ireland, Dr. Ganesh Manoharan dan Perunding Anastitik IJN Dr. Sharifah Suraya Syed Mohd. Tahir.
KUALA LUMPUR 4 Dis. – Institut Jantung Negara (IJN) menjadi hospital pertama di Asia memperkenalkan prosedur ‘Penukaran Injap Jantung Rosak dengan Injap Gantian Melalui Kateter’ bagi pesakit jantung berisiko tinggi dan lanjut usia.
Prosedur TAVI atau Tran-catheter Aortic Valve Implantation (TAVI) itu berjaya dilakukan ke atas tiga pesakit warga emas dengan salah seorang daripada mereka ialah Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad.
Dua lelaki tersebut menerima injap jantung gantian pada 25 November lalu manakala Shahnon, 76 tahun menerima injap jantung gantian pada keesokan harinya.
Prosedur TAVI yang dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah dan jantung IJN itu diketuai oleh Ketua Jabatan Kardiologi dan Pakar Jantung, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali.
Ia mengambil masa kurang daripada dua jam bagi seorang pesakit untuk dimasukkan injap jantung gantian bagi mengganti injap jantung yang telah rosak.
Terdapat dua kaedah iaitu dengan membuat tebukan kecil di pangkal paha atau di bawah tulang bahu pesakit berkenaan.
Menerusi tebukan tersebut injap jantung gantian berukuran 23 milimeter akan dimasukkan ke dalam salur darah melalui kateter untuk menggantikan injap jantung yang rosak supaya kembali normal.
Dengan adanya prosedur TAVI, pesakit jantung berisiko tinggi tidak perlu lagi menjalani pembedahan jantung terbuka atau pembedahan pintasan koronari yang lazimnya dilakukan terhadap pesakit jantung di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengarah Perubatan (IJN) Datuk Seri Dr. Robaayah Zambahari sewaktu mengumumkan kejayaan tersebut berkata, prosedur itu telah berjaya dilakukan terhadap tiga pesakit tersebut dan kesihatan mereka kembali pulih.
Beliau berkata, pesakit pertama berusia 73 tahun manakala pesakit kedua berusia 77 tahun yang berisiko tinggi jika melakukan pembedahan jantung terbuka.
Menurut beliau, prosedur TAVI bagi setiap pesakit berlangsung kurang daripada dua jam dan mereka boleh berjalan semula dalam tempoh 48 jam.
Jelasnya, ketiga pesakit tersebut telah kembali sihat dan dibenarkan pulang lima hingga enam hari selepas melalui prosedur tersebut.
‘‘Prosedur ini tidak ditawarkan kepada semua pesakit jantung. Kaedah ini hanya ditawarkan kepada pesakit jantung berisiko tinggi yang mengidap darah tinggi, kencing manis atau lelah yang lanjut usia. Ia sangat sesuai dan selamat bagi pesakit jantung yang berumur 70-an hingga 80-an.
‘‘IJN bangga kerana mencatatkan sejarah menjadi hospital pertama di Asia memperkenalkan prosedur tersebut terhadap pesakit berisiko tinggi. Kejayaan ini dilakukan secara berkumpulan oleh mereka yang terlibat dalam prosedur tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di IJN di sini hari ini.
Turut hadir sekumpulan doktor pakar yang terlibat melakukan prosedur TAVI iaitu Datuk Dr. Rosli Mohd Ali, Dr. Shaiful Azmi, Datuk Dr. Mohd Azhari Yakub, Dr. Jeswan Dillon, Datuk Dr. Mohamed Hassan Mohamad Ariff, Dr. Sharifah Suraya Syed Mohd.Tahir dan Dr. Ganesh Manoharan.
Mengulas lanjut kejayaan tersebut, Dr. Robaayah berkata, prosedur TAVI diperkenalkan buat pertama kalinya di Amerika Syarikat (AS) pada 2002.
Sementara itu, Dr. Rosli berkata, pada pertengahan Januari depan beliau dan kumpulannya akan melakukan prosedur TAVI terhadap empat lagi pesakit jantung yang lanjut usia dan berisiko tinggi.
‘‘Kaedah ini sangat selamat serta menjimatkan masa. Kita menyasarkan untuk melakukan prosedur tersebut terhadap 20 pesakit jantung IJN yang berisiko tinggi dalam masa setahun.
‘‘Kejayaan prosedur ini 98 hingga 99 peratus,’’ katanya.
Katanya, kos bagi setiap prosedur dianggarkan RM140,000,00 termasuk harga injap jantung gantian yang berharga RM112,000.
Beliau berkata, kajian untuk menggunakan prosedur tersebut bagi pesakit IJN telah dibuat sejak lebih setahun yang lalu.
sumber: utusan 2009
1 comment:
Menarik.
Oh! Tapi bila sampai perenggan kos rawatan sudah cukup untuk bikin orang sakit jantung. =P
Post a Comment