Cerita bermula. Sebelah kirinya memegang setin Coke, dan jemari sebelah kanan mencapai remote control, menekan malas punat-punat di situ. Dicari siaran kegemarannya,namun hampa. Apa ni? Semua saluran menghidangkan sajian yang sama. Palestin bergolak lagi. Rundingan damai gagal. Kesatuan Hamas Dan Fattah temui jalan buntu. Israel rancak membedil Palestin. OIC berusaha bantu penindasan Palestin. Aaaargghh! Dia bosan. Sungguh, negaranya aman damai, maka ada apa Palestin dengannya? Lalu dia membawa kaki ke kamarnya. Tidur lebih baik dari layan sakit hati.
Petang semalam juga begitu. Entah siapa-siapa dari mana-mana, datang memberi risalah kepadanya. Kempen Boikot Israel, Palestine in Our Hearts. Flyers berupa barang-barang produk Israel yang perlu diboikot, serta pamplet berisi sejarah ringkas penaklukan Palestin, lengkap dengan fatwa mengapa perlu diboikot. Dan di tangannya ada tabung, Derma untuk Palestin jika tak silap pandangannya. Mahasiswa universiti mungkin.
“Nak boikot barang? Berjaya ke? Bukannya sekotak dua rokok, berjuta-juta. Habiskan masa ngan duit je…” gumamnya .
“InsyaAllah dik. Usaha ni mungkin nampak kecil, tapi besar nilainya di sisi Allah. Kalau adik dan kawan-kawan, dalam sepuluh orang boikot, cuba kira dah berapa puluh ringgit Israel rugi?” Rungutan kecilnya didengar abang berkopiah putih itu rupanya.
“Adik tak nak derma untuk Palestin?” tanyanya lagi. Muka bersih dengan janggut sejemput di dagunya.
“Nah, abang ambil ni. Buat beli gula-gula kat budak-budak Palestin tu eh?” Jarinya menggenggam kepingan duit syiling, lalu dimasukkan ke dalam tabung itu, bersama sengihan lebar. Sempat dia menangkap wajah kesal pemuda tadi, tetapi… Ahhh, biarlah! Lagipun, ada apa Palestin denganku? Ayat itu yang selalu diulang-ulangnya untuk menyedapkan hati andai rasa bersalah bertandang. Dan memori itu hanyut bersama lenanya.
Alunan keras MCR melagukan Helena mengejutkannya dari tidur. Usai solat Asar ringkas, dia mencapai kunci motor. Rutin hidupnya begitu. Petang-petang enak dihabiskan bersama teman-temannya, melepak, menghisap rokok, bershisha jarang-jarang, dan jika ada cerita baru di panggung, mereka beramai-ramai akan menonton, masing-masing mengulas cerita, melontarkan komen, kritikan mahupun membina. Ayah dan ibu? Pastinya berhempas pulas di klinik, melayan penyakit yang maha banyak. Dan dua adiknya hanya nampak batang hidung sebulan sekali, ataupun kala cuti sekolah. Tinggallah dia berseorangan di rumah. Nasihat-nasihat ayah menyuruhnya sambung belajar dibuat tak endah. “Biarlah dulu ayah… Aman kan muda lagi” Begitu jawabnya bila telinga penat menahan leteran ayah.
“ Hey geng! Sorry aku lambat. Tertidur tadi” Ucapan salam diganti sapaan ringkas. Tamparan tangan disambut si rakan yang enak meneguk Pepsi, manakala yang lain dilihat berkepul-kepul menghembus asap rokok.
“ Kau ni Aman… Selalu je tidur petang-petang. Nanti lembab otak kau tau?” Sindiran Hakimi dibuat tak endah, dan tangannya rakus meneguk air Coke dari tin entah kepunyaan siapa di atas meja. Serentak dengan itu…
Fuuuuhh… Bersembur cecair keluar dari mulutnya, mengejutkan dua tiga kumpulan yang turut lepak di situ.
“Apsal kau ni Aman?” Hakimi menepuk-nepuk belakangnya. Dikesat mulutnya yang berbau hanyir dengan belakang tangan, dan dilihat lelehan merah likat, bahkan ada ketul-ketul darah beku juga di celahan jari. Darah! Aku minum darah!
“Eh, apa yang kau gelabah sangat? Rileksla Aman. Tu fresh lagi tau. Cuba kau tengok sana? Tu stok baru, van tu baru je bawak kargo dari sana. Ni, rokok semua ni, bau duit beb!” jawapan Hakimi makin membuat dia bingung.
“Kau gila?? Apsal ada darah dalam air tin Coke ni? Tu, rokok tu. Korang mabuk ke ape hah? Ko gulung duit tu, then bakar dia, lepas tu korang hisap. Apekejadahnye?” Adrenalinnya memuncak. Kenapa rakannya?
“Jangan nak jadi baikla Aman… Kau jugak yang cakap dulu, ada apa Palestin dengan kita kan? So, ko janganlah tunjuk alim pulak. Ni semua darah budak-budak Palestin yang kena sembelih ngan Israel, import khas dari sana tahu? Hisap rokok dah tak pakai tembakau sekarang beb, tak macholah… Nak hisap rokok bakar duit, baru syok! Cuba ko tengok sekeliling. Hiasan kafe tu hah…”
Ya Allah, kepala manusia! Ada yang sudah tinggal tengkorak, namun ada juga yang masih bersisa daging-daging dan helaian kulit, dihurung lalat berterbangan dan ulat-ulat yang bergeliang geliut. Jantungnya berdegup laju, sedaya upaya mungkin mengepam, menghantar bekalan oksigen ke segenap ruang badan, meski dirinya sudah rasa sesak nafas. Tangannya menggeletar.
“Hah, nampak kan? Tu semua hasil-hasil dari Palestin, kau patut bangga Aman! Satu dunia dah tahu, sekarang Palestin dah dikuasai Israel. Masjid Aqsa dah kena tawan. Tiap-tiap hari kat TV tayang bukti-bukti kehebatan Israel kat sana. Mantap gila dowh! Nak jadi maju, Malaysia kena contohi Israel. Tu pasal kita banyak buat hubungan ngan Israel sekarang, sampai bekal makan minum pun dari sana… Lagipun, peduli apa aku! Negara dia yang perang, bukannya aku yang kena angkat rifle, bawak kereta kebal, lempar bom…” Penuh bangga Hakimi menuturkan patah demi patah ayat, dan dekahan ketawanya serasa seperti suara syaitan yang galak mentertawakan ummat Adam yang bertuhankan nafsu. Biadap! Hakimi dan rakan-rakan lain sudah melampau! Sebelum penumbuk sulungnya melayang ke muka sang teman, lebih baik dia menenangkan diri. Dicapai helmet, dengan dengusan dia terus berlalu.
“Woi Aman! Alaa… Aku dah order stik ni. Daging black pepper pejuang-pejuang Hamas yang kononnya mati syahid tu. Jomla woi! Ko ingat murah ke ni…” Jeritan Hakimi memanggil dibuat tak endah. Gila! Makan daging orang, minum darah, bakar duit… Dia terasa sangat bodoh punyai rakan seperti itu. Atau, dia yang kuno, ketinggalan zaman?
Aman bingung,buntu. Ke mana harus dia pergi? Perut yang berkeroncong minta diisi membuat dia berhenti di gerai berdekatan. Hanya sekeping sandwich mengisi perutnya sejak pagi. Dipesan mee goreng dan segelas sirap, namun hidangan yang datang seakan ingin mengaktifkan ‘area postrema’nya. Usus manusia, serta segelas darah! Ahhh… Kenapa dengan duniaku? Masyarakatku? Dia benar-benar mati akal, seinfiniti persoalan serasa bermain di benaknya, namun serebelumnya seakan berhenti berfungsi, membiarkan diri letih bermain dengan tanda tanya yang semakin bersarang di minda. Tidak tahu ingin merujuk pada siapa, bahkan kakinya juga seakan dipaku ke bumi. Kala itu seakan terngiang di telinga, indah alunan ayat-ayat suci, kalam Tuhan Maha Agung berselang hadith lengkap periwayat. Cuba menginterpretasi makna di sebalik makna,definisi terhijab definisi, namun gagal.
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat” (49:10)
Dari Anas Ibn Malik, Rasulullah SAW bersabda ; “Tiada antara kamu menjadi mukmin sejati sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” (Al-Bukhari dan Muslim)
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram (13:251)
Ahhh! Kacau,kusut! Siapa yang mampu mentafsir baris demi baris untuknya? Tiba-tiba impuls memberi respon, menghantar lakaran peristiwa yang selalu dilihatnya, namun tidak pernah diteladani. Dua insan paling akrab dalam hidupnya, khusyuk mentadabbur ayat demi ayat saat menunggu Isya’ menjengah. Lantas motor dipecut menghala ke klinik ayah dan ibu. Ya! Mereka pasti boleh memberi jawapan untuknya. Perjalanannya dihiasi papan tanda yang sangat aneh, tidak pernah wujud sepanjang pembelajaran di sekolah memandu dahulu. Papan iklan KFC dan McD, dua restoran fast food kegemarannya di tengah-tengah kota mempamerkan : Crunchy eaten fresh, refresh your thirst, Say yes to Palestinian meat and blood! Iklan Starbucks,Coca Cola, Pepsi dengan tawaran minumannya, comforting your throat in hot sunny days, enjoy new launch : Palestinian blood and tears! Jenama-jenama pakaian, rokok, surat khabar, bahkan syarikat-syarikat perfileman serta saluran televisyen antarabangsa, semuanya menyatakan sokongan terhadap pembunuhan rakyat Palestin. Ayah,ibu, tolong Aman! Aman pening dengan situasi yang berlaku!
Tiba di klinik. Hairan, kenapa skuad peronda dan militia-militia pertahanan negara berkumpul di hadapan premis punca rezeki mereka sekeluarga itu? Amaran pada tali kuning tertera Do Not Cross tidak mampu membantutkan niat Aman menyelongkar misteri serta menyekat gelojak ingin tahunya. Jalan belakang klinik direntas mudah, dan di balik sedikit kuakan pintu, suara sang ayah bertekak hebat samar-samar didengari, namun dadanya berdebar apabila seorang pegawai keamanan berwajah angkuh mengacukan pistol ke kepala ayahnya. Dia tak pasti akan butir bicara, namun yang mampu difahami, ayahnya dituduh terlibat menyalurkan keuntungan klinik serta sedikit bantuan ubat-ubatan ke Palestin.
Ayah berwajah tenang, dengan berani mengakui kebenaran tuduhan, serentak penumbuk serta tendangan bertubi-tubi hinggap di tubuh lemah ayah. Jiwanya meraung, namun diri masih kaku untuk bertindak. Sekilas, susuk ibu tertangkap di retina, memandangnya, sedar akan kelibatnya. Ibu tercinta diikat di kerusi, lemah dengus nafasnya,bersama titisan darah berjejeran memerahkan white coat suci yang dipakai. Sungguh, seakan ingin berlari mendakap tubuh yang melahirkannya itu, merungkai tangan yang menyuap dan menggosok kepalanya sewaktu kecil, namun gerak mulut ibu menghantar isyarat untuk dia bersembunyi. Naluri ibu yang bimbang akan keselamatannya menginsafkan Aman, betapa khilafnya dia sebagai seorang anak.
“Kau tahu bukan betapa anak muda sekarang teruja dengan daging manusia? Lebih-lebih lagi rakyat Palestin! Kanibalisme yang menebal sudah pasti membutakan mereka, nikmat makan itu yang lebih dikejar. Aku tak rasa mereka cukup cerdik untuk menilai antara dagingmu atau pejuang-pejuang di sana. Kau bakal jadi mangsa pertama untuk aku hidangkan buat santapan mereka yang gelojoh dan lapar wahai doktor!” serentak ayat yang ditutur manusia durjana, hancur lunyai tubuh si ayah menerima das demi das tembakan, begitu juga ibu. Namun Aman mampu melihat segaris senyum bahagia di bibir mereka, ukiran syahid kemenangan, ukiran bahagia bertemu Pencipta Abadi dalam husnul khatimah. Ayah…! Ibu…!
Serentak, dirinya bangkit. Ya Allah, mimpi! Dikerling sekilas, angka pada jam hampir menginjak ke senja. Diraup muka, dikesat mata yang bersisa titisan mutiara, tak terbayang ngeri mainan tidurnya petang itu, andai ayah ibu benar-benar menjadi santapan insan seperti rakannya… Dan ayat akhir masih lunak teralun di telinganya… ‘Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang’. Lalu diatur sepasang kaki ke bilik air, menyucikan diri, menyerah pada Ilahi, bertaubat pada Rabbi. Panjang doa Aman petang itu, lama dia berteleku di atas sejadah, menyesali keangkuhan diri, mengkoreksi ketidakprihatinannya pada saudara seislam di sana. Di mana sensitivitinya?
Kiblat pertamanya, masakan dia boleh buat bodoh dan tak peduli bila diserang? Agamanya ditindas, diperkotak katik orientalis-orientalis serta penjajah bangsat, masih lagi dia selamba menogok minuman, menelan makanan, serta menyokong produk-produk negara yang bersekongkol mengecam serta membantu penjajahan haram itu? Manusia-manusia sebayanya, malah ada yang lebih muda gigih melontar batu-batu kecil dengan keyakinan mampu menghentikan jentera-jentera musuh, namun dia masih endah tak endah akan bilangan saudaranya yang terkorban, khabar saudaranya yang syahid, fosforus musuh yang mensengsarakan? Dan mereka berjuang sehabis daya, sehingga titsan darah yang terakhir, hembusan nafas yang terhenti, habis seisi keluarga dikorbankan untuk berjuang, tetapi dia? Usaha boikot sekecil kuman itupun tidak mampu, malah masih berkira, masih berdalih, masih beralasan!
Ya Allah, ampuni aku! Ampuni dosaku terhadap saudaraku! Tidak sanggup aku menjawab di hadapanMu kelak bila Kau tanya apa hak saudaraku yang aku tunaikan apabila diserang musuh, apa pertolongan yang ku hulur bila mereka ditindas? Sungguh, aku menzalimi diri sendiri, aku menzalimi saudaraku. Aku bodoh, aku lemah, aku jahil, aku hina Ya Allah! Terimalah taubatku… Bersama titisan air mata, tekadnya kukuh untuk membantu saudaranya di sana, dan usaha boikotnya bukan sahaja terhenti apabila Israel laknatullah itu beromong gencatan senjata sahaja, bahkan istiqamah sehingga Palestin kembali dimiliki lagi, insyaAllah. Ameen…
p/s: Kenapa saya repost cerpen ni?(sebelum ni pernah keluar kat blog pcm,jika sesiapa pernah perasan)
Minta sahabat2 komen mengenai pengajaran/apa yang kalian dapat/teka apa yang nak disampaikan dan insyaAllah lepas ni akan diberi pencerahan berkenaan isu yang nak disampaikan.Berkaitan kita,berkait dengan mereka di sana.
*watak,karakter asal tidak diubah.Tiada kaitan antara yang hidup mahupun yang telah meniggal.Hanya fiksyen dari kotak imaginasi penulis sahaja.=)
-dahsyatkan potensi dirimu, raih prestasi luar biasa-
2 comments:
nk komen..
tp rupe2nye cerite lame..
abes yg tulis2 tu backspace balik...
tp papepon,tulisan dari otak yg sentiasa diasah dgn bilahan kosa kata novel..
wow.so what's up e' the ending?dreaming or what?for real???
Post a Comment