Tuesday, September 27, 2011
Tuesday, September 20, 2011
Bagaimana Lelaki Menjadi Cantik Di Mata Wanita
Kalimah indah yang juga memberikan rasa yang indah. Semua manusia sukakan kecantikan, kerana itu merupakan fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Lihatlah di dinding rumah, di atas meja kerja dan di dalam kereta, manusia akan merasa selesa apabila wujudnya benda-benda cantik di tempat tersebut. Manusia suka meletakkan teddy bear kecil, meletakkan bunga-bunga indah dan ukiran kaca yang cantik bagi menjadikan sesuatu tempat itu kelihatan menarik.
Cantik itu bukan boleh dirasa dengan lidah. Bahkan cantik itu pun tidak mengenyangkan perut manusia. Makanan yang kelihatan cantik umpamanya, tidak semestinya mempunyai rasa yang sedap dan menyelerakan. Tetapi cantik itu memberi kesan kepada hati. Cantik itu memberikan ketenangan, keseronokan dan keindahan tersendiri kepada manusia.
Ia tidak memberi kesan lahiriah, tetapi memberi kesan batiniah yang sungguh tinggi.
LELAKI DAN KECANTIKAN
Apabila berbicara soal cantik, tangan mudah menunding kepada wanita sahaja. Sehingga, subjek cantik hanya difokuskan kepada wanita dan lelaki terus terabai dari aspek kecantikan. Ini silap.
Cantik itu sewajarnya bagaimana?
Sudah tentu kita bukan mahu berbicara sekadar kecantikan yang bersifat luaran semata-mata. Cantik kerana bedak yang disapu ke muka, cantik kerana gaya rambut atau cantik kerana memakai pakaian yang cantik. Kita mahu berbicara tentang konsep cantik yang sebenar.
Konsep cantik yang sebenar itu, sesungguhnya tidak pernah memisahkan antara jantina, lelaki mahupun perempuan. Justeru, sebagaimana wanita perlu menjadi cantik untuk pasangannya, maka lelaki juga wajib menjadi cantik untuk pasangan mereka.
WAJAH YANG CANTIK vs KECANTIKAN PADA WAJAH
Kalau anda renungi dengan cermat, anda akan lihat perbezaan yang ketara antara keduanya. Wajah yang cantik adalah anugerah Allah kepada manusia. Boleh jadi sebagai nikmat dan boleh jadi sebagai ujian. Hikmah Allah sangat besar pada ketentuan tersebut. Wajah yang cantik mungkin dinilai dari bulu matanya yang lentik, hidungnya yang mancung, wajahnya yang secocok serta rambut yang ikal mayang. Tentunya, bukan semua manusia mempunyai kelebihan ini.
Namun Allah itu Maha Adil.
Wajah yang cantik bukan peluang kepada semua manusia, tetapi kecantikan pada wajah berpeluang dinikmati oleh semua manusia.
Soalnya, dari mana datang kecantikan pada wajah manusia?
Jawabnya, ia datang daripada HATI.
Itulah yang seringkali kita dengar dari sabdaan Baginda s.a.w ; sekiranya hati itu baik maka baiklah seluruh anggota zahirnya dan sekiranya hati itu buruk maka buruklah seluruh anggotanya.
Dan wajah, adalah antara tempat yang paling sensitif dalam memantulkan kecantikan ataupun keburukan hati.
KECANTIKAN PADA LELAKI
Inilah yang perlu diberi perhatian oleh seluruh kaum Adam, terutama yang masih belum melangkah ke alam rumahtangga. Tidak terkecuali juga mereka-mereka yang sudah berumahtangga.
Selalukah anda membuat muhasabah tentang kecantikan diri anda untuk bakal pasangan ( bagi yang belum berkahwin ) dan di hadapan pasangan ( bagi yang sudah berkahwin ) ?
Lelaki yang lambat matang dan tidak pernah mahu matang, adalah lelaki yang hidupnya hanya bermodalkan ‘macho‘ dan ‘handsome‘ untuk menawan hati pasangan. Kerana apa saya sebutkan isu matang? Kerana, lelaki seperti itu tidak pernah mahu sedar bahawa TUGAS dan TANGGUNGJAWAB mereka yang sebenar adalah sebagai PEMIMPIN yang ulung kepada pasangan mereka.
Dan untuk memimpin, macho sahaja tidak cukup. Berlagak gentleman sahaja belum memadai. Sebaliknya elemen-elemen penting yang membawa kecantikan kepada diri mereka perlulah diambil perhatian secara serius.
ELEMEN YANG MENCANTIKKAN
Antara elemen yang menjadikan seseorang lelaki itu cantik di mata wanita adalah :
Pertama : Hubungan dengan Allah
Ini paling penting. Kantoi dengan Allah, kantoi jugalah dengan manusia. Sesungguhnya kejernihan dan ketenangan pada wajah seseorang hanya dapat dianugerahkan oleh Allah dan bukannya oleh produk-produk kecantikan yang ditempek ke muka siang dan malam. Dan wanita, sangat suka kepada lelaki yang menjaga hubungan dengan Allah. Tidak hairan, kerana ramai wanita memegang prinsip ; kalau amanah dengan Allah dijaga rapi, insyaAllah dia akan amanah denganku nanti.
Kedua : Akhlak dan Peribadi
Ini kayu ukur paling utama kepada kecantikan seseorang lelaki. Wanita akan menilai seseorang lelaki itu cantik apabila peribadi lelaki itu benar-benar memikat hatinya. Tidak berpoya-poya, tidak mengambil kesempatan, tidak hipokrit, tidak bermuka-muka dan tidak menindas kaum wanita.
Dan sesungguhnya, peribadi yang ulung itu hanya akan lahir daripada benih TAQWA.
Ketiga : Nilai Qawwamah
Maksudnya, nilai kepimpinan dalam diri. Sebagaimana firman Allah ta’ala : Lelaki itu adalah pemimpin ke atas wanita. Lebihnya seseorang lelaki ke atas wanita hanyalah dari sudut kepimpinan dan tanggungjawab sahaja.Mereka adalah suami dan ayah. Mereka memikul tanggungjawab yang sangat berat di mana kesemuanya akan ditanya Allah di akhirat kelak.
Lelaki-lelaki yang tidak mahu mengambil berat tentang nilai ini dalam diri mereka, akan menjadi lelaki yang rendah nilainya di mata wanita. Ini kerana, ‘kecantikan’ dirinya ibarat sudah tiada. Apatah lagi jika dia yang sepatutnya memimpin, tetapi dengan pasangan menjadi orang yang dipimpin pula. Contohnya ; Queen Control.
Keempat : Kematangan dan Kesabaran
Wanita adalah kaum yang suka dilindungi. Sejauh mana pun mereka melangkah, mereka tetap mahu didampingi dan mereka tetap mahukan tempat berpaut. Wanita tidak suka kepada lelaki yang keanak-anakan, tidak pandai mengurus emosi, tidak sabar, tidak bijak membahagikan masa dan sebagainya. Kesemua kecacatan ini bisa menjadikan seseorang lelaki tampak sangat hodoh di mata wanita.
Kelima : Matlamat Hidup
Seorang lelaki yang mempunyai visi serta misi yang jelas dalam hidupnya, akan menjadi rebutan ramai wanita. Ini kerana, lelaki tersebut sebenarnya telah menjadi sangat cantik di mata wanita. Dia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa dirinya bukan seorang yang tidak serius, bukan seorang yang tiada matlamat, bukan seorang yang sambil lewa sebaliknya seorang yang benar-benar konsisten dengan target hidup. Sesiapa yang melangkah bersamanya akan beroleh selamat. Inilah perkara yang sangat disukai oleh kaum wanita.
Kalau lelaki memandang Lisa Surihani sebagai cantik dan menggilainya, wanita pula memandang lelaki jenis ini sebagai sangat cantik dan akan menggilainya.
Keenam : Hubungan sesama manusia
Wanita sangat menyukai lelaki yang pandai berkomunikasi. Komunikasi ini bukan hanya antara lelaki itu dan dirinya sahaja, bahkan juga dengan orang lain. Hubungan sesama manusia inilah yang menentukan seseorang lelaki itu sebagai dihormati, disegani mahupun dicemuh dan dibenci.
Juga, seseorang wanita pasti akan meletakkan target supaya lelaki itu berjumpa dengan ibu bapanya. Dan sudah tentu, jika komunikasi lelaki itu cemerlang, ia menjadi faktor besar kecantikan dirinya di mata seseorang wanita.
KESIMPULAN
Berbicara tentang subjek cantik yang hakiki sangat luas skopnya. Tidak terhad kepada nilaian mata semata-mata, bahkan juga pengadilan dari hati. Walaupun mata diibaratkan sebagai hakim pertama, namun hati tetap hakim yang paling utama.
Lelaki juga sewajarnya sedar, bahawa mereka perlu meningkatkan kecantikan diri mereka di hadapan wanita dari masa ke semasa. Kecantikan ini besar kesannya, kerana ia bukan sahaja untuk menawan hati pasangan tetapi lebih penting untuk MEMIMPIN mereka dalam kehidupan.
Justeru untuk para lelaki, ayuh make up kecantikan dirimu, dan tawanlah hati si dia dengan power dari kecantikan hakiki tersebut.
-dahsyatkan potensi dirimu, raih prestasi luar biasa-
Monday, September 5, 2011
Jemputan ke Majlis Kenduri Pihak Lelaki [Ariffudin & Izyan]
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang.
Alhamdulillah, berkat kurniaan dariNYA, dengan segala hormat, kami menjemput semua rakan dan kenalan kami ke majlis akad nikah dan kenduri kesyukuran kami; Ariffudin bin Dzulkhefli & Izyan Izzati binti mahzan .
InsyaAllah akan berlangsung seperti yang berikut:-
Majlis pihak lelaki -
Tarikh : 16 Sept 2011 bersamaan 18 Syawal 1432H
Masa: 7.30 - 11.30 Malam
Tempat : Seperti yang tertera dalam kad di atas.
Kehadiran kalian ke majlis ini adalah amat besar maknanya untuk kami.
Semoga kehadiran kalian, bersamanya ada berkat dan Rahmat Allah s.w.t yang
melimpah ruah.
Kami dengan rasa rendah dirinya memohon doa dari kalian agar rumah tangga yang bakal kami bina ini sentiasa diwarnai dengan Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dari Ilahi. Ameen ya Rabb 'Alamin.
Kami dengan rasa rendah dirinya memohon doa dari kalian agar rumah tangga yang bakal kami bina ini sentiasa diwarnai dengan Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dari Ilahi. Ameen ya Rabb 'Alamin.
Terima Kasih.
Subscribe to:
Posts (Atom)